Sunday, October 11, 2009

AnTaRa TUhAN dAn HanTU



Jangan dirosakkan kesediaan anak-anak untuk mengimani Allah. Salah satu cara fitrah itu dirosakkan oleh si ibu dan si bapa ialah apabila kesediaan anak mengimani Tuhan, digantikan dengan Hantu.

“Hee……hantu! Hantu!!” bapa mengacah anak yang bermain di dalam bilik. “Hua…!!” lintang- pukang si anak melarikan dirikerana takutkan hantu.

Biasalah itu. Cara mudah untuk ibu bapa mengawal anak–anak, takutkan mereka dengan hantu. Walhal si anak bukan pernah melihat hantu. Ibu bapa itu pun berkemungkinan besar tidak pernah bertemu hantu. Tetapi entah mengapa, takut benar si anak dengan hantu. Berbakat sungguh si ibu dan bapa menakutkan anak-anak mereka dengan apa yang mereka sendiri tidak pernah lihat,tidak pernah jumpa.

Jika hantu yang tidak pernah ditemui itu boleh digambarkan dengan begitu kreatif oleh ibu bapa dan anak-anak, mengapa mereka tidak kreatif memperkenalkan kepada si anak soal Tuhan. Asyik-asyik hantu. Bagaimana Tuhan?

GHAIB

Sama ada hantu atau Tuhan, kedua-duanya adalah persoalan ghaib. Mempercayai sesuatu yang ghaib itu adalah sulit bagi ahli material, tetapi fitrah bagi yang memahaminya.

“ Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)” ( AL-Baqarah:55)

Yahudi itu tidak mampu mengimani Allah AWT. Mereka hanya boleh mempercayai apa yang dapat dilihat dengan pancaindera penglihatan mereka. Mereka mahukan Tuhan yang boleh disaksikan oleh mata.
“ Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: ‘Bahawasanya Allah ialah AL-Masih Ibni Maryam’ ( AL-Maidah:17)

Manakala Nasrani pula bertuhankan manusia berjasad yang bernama al- Masih bin Maryam. Kufurlah mereka kerana kepercayaan itu, bahasa al-Masih itu Allah atau anak Allah.

Yahudi dan Nasrani tidak mampu mengimani Allah kerana cacat mereka pada keupayaan mengimani perkara ghaib,sebagaimana sekalian Majusi iaitu istilah syara’ yang merujuk kepada sekalian musyrikin selain Yahudi dan Nasrani.

FITRAH

Lantas kita sampai kepada ingatan Nabi SAW tentang hakikat ini di dalam sepotong Hadis yang sering dibaca:
“Tidaklah lahir seorang bayi melainkan lahirnya dia itu di atas fitrah. Maka kedua ibu bapalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi…” ( Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim dengan lafaz al-Bukhari)

Ibu bapalah yang berperanan menjadikan anak itu mempercayai Tuhan sama ada secara Yahudi, Nasrani, Majusi atau kekal di atas fitrah yang asal dan luhur/

Di sinilah timbulnya perbahasan popular semasa, iaitu bagaimana kita mahu memperkenalkan Allah kepada anak-anak? Seminar demi seminar diadakan dengan maksud mahu menterjemahkan keutamaan akidah kepada Allah sebagai asas utama pendidikan, termasuklah kepada anak-anak.

Jika ibu bapa begitu kreatif memperkenalkan hantu kepada anak-anak, bagaimana pula dengan tanggungjawab mereka memperkenalkan Tuhan?

TAUHID UNTUK SI ANAK

Apakah mahu disulitkan persoalan ini dengan mencari formula menterjemahkan perbahasan Sifat 20 kepada si anak kecil? Apakah mahu dipeningkan persoalan ini dengan mencari formula menterjemahkan perbahasan Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah SWT kepada si anak?

Apabila Nabi SAW telah memperingatkan bahawa anak-anak itu lahir di atas fitrah, maka fahamlah kita bahawa sebenarnya keupayaan mengimani Allah SWT oleh anak-anak kecil ini adalah sebahagian daripada fitrah itu. Anak-anak sudah secara fitrahnya bersedia dan mampu mengimani Allah sebagai Tuhan. Itu fitrah mereka.

Maka ibu bapa tidak perlu memeningkan kepala mencari formula mahu menyedarkan si anak kecil tentang apa atau siapa itu Tuhan, kerana anak-anak dengan fitrah mereka sudah pun mengimaninya tanpa kita sedar.Lantas tugas ibu bapa ialah memupuk dan memperkembangkannya, tetapi harus didahului dengan suatu peringatan, JANGAN DIROSAKKAN FITRAH ITU.
Jangan dirosakkan kesediaan anak-anak untuk mengimani Allah. Salah satu cara fitrah itu dirosakkan oleh ibu bapa ialah apabila kesediaan anak mengimani TUHAN, digantikan dengan HANTU.

Maka binalah kepercayaan anak-anak kepada Allah sebagai Tuhan dengan memupuk keyakinan mereka. Sesungguhnya sikap ibu bapa yang lebih banyak menyebut HANTU berbanding TUHAN kepada anak-anak kecil mereka adalah perbuatan yang mendorong anak itu kepada Yahudi. Nasrani juga Majusi. “Eee… Abi takut Tuhan!” kan lebih sedap dan fitrah bunyinya!

2 comments: